Latar Belakang Dan Syarat Perjanjian Persekutuan 1895

Tugasan Kerja Kursus Sejarah PT3 2015 - Latar Belakang Dan Kesan Perjanjian Persekutuan 1895. Pelajar Tingkatan 3 wajib menyiapkan Tugasan PT3 Sejarah 2015 kali ini dengan membuat kajian dan menghasilkan laporan yang panjangnya tidak kurang daripada 300 patah perkataan berdasarkan petikan yang diberi Dokumen Persetiaan Persekutuan 1895. Tarikh tugasan perlu disiapkan adalah bermula dari 28 Jun hingga 10 Julai 2015.

Jika ditinjau dari sudut sejarah, konsep federalisme di negara kita telah wujud dan diguna pakai sejak 1896. Ia bermula apabila kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu diperkenalkan melalui Perjanjian Persekutuan 1895 yang menggabungkan empat negeri yang dijajah British iaitu Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan di bawah satu kerajaan pusat yang diketuai oleh seorang Residen Jeneral. Setiap negeri itu pula diketuai oleh seorang Residen yang mentadbir berdasarkan panduan kuasa yang telah digariskan.

Idea penubuhan persekutuan dikemukakan oleh Frank Swettenham pada tahun 1892 kepada Gabenor Negeri-negeri Selat, Cecil Smith. Pada tahun 1893, Cecil Smith menghantar laporan kepada Pejabat Tanah Jajahan mencadangkan penubuhan persekutuan yang terdiri daripada Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Dalam laporan itu, beliau menegaskan penubuhan persekutuan akan menguntungkan British dan negeri tersebut dari segi politik, ekonomi dan sosial. Frank Swettenham mengambil inisiatif dengan mendapatkan persetujuan Sultan Perak, Selangor, Pahang dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan terhadap penubuhan persekutuan. 

Perjanjian Persekutuan 1895

Pada 1 Julai 1895, Sultan tersebut menandatangani perjanjian persekutuan. Pada 1 Julai 1896, Negeri-negeri Melayu Bersekutu ditubuhkan semasa Sir Charles Mitchell menjadi Gabenor Negeri-negeri Selat. Perjanjian Persekutuan 1895 telah ditandatangani di antara Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Cecil Clementi Smith bagi pihak Kerajaan British dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris, Perak; Sultan Suleiman, Selangor; Sultan Mahmud, Pahang; dan Yam Tuan Besar Sri Menanti, Dato Bandar Sungai Ujong, Undang Johol, Undang Rembau dan Tengku Dewa Tampin. 

Faktor-faktor penubuhan Persekutuan 1895

(i) Kelemahan Pelaksanaan Sistem Residen

  • Residen tidak diberikan panduan jelas untuk menjalankan tugas
  • Residen menjadi terlalu berkuasa
  • Pentadbiran setiap negeri tidak seragam kerana mempunyai undang-undang sendiri
  • Gabenor Negeri-Negeri Selat di Singapura gagal mengawal kuasa Residen
(ii) Krisis Kewangan Pahang

  • perbelanjaan negeri meningkat kerana Pahang terpaksa menanggung banyak hutang akibat kebangkitan rakyat menentang British
  • jika pahang digabungkan dengan negeri-negeri kaya seperti Perak dan Selangor masalah dapat diringankan
(iii)  Perkongsian Perkhidmatan Pakar

  • menjimatkan bayaran perkhidmatan pakar seperti jurutera, juru ukur dan doktor
(iv) Sistem Perhubungan

  • sistem perhubungan seperti jalan raya dan landasan keretapi antara Negeri-Negeri Melayu dapat dimajukan
(v) Faktor Keselamatan

  • mengukuhkan kekuatan dan pertahanan ketenteraan

Struktur Pentadbiran Persekutuan 1896 (Negeri-Negeri Melayu Bersekutu)
    Pesuruhjaya Tinggi British
    (Gabenor Negeri-Negeri Selat (NNS) di Singapura)
    ↓
    Residen Jeneral
    (berpusat di Kuala Lumpur dan tinggal di Carcosa tahun 1898)
    ↓
    Residen
    Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang

Syarat-syarat perjanjian persekutuan 1895

  1. Perak, Pahang Selangor dan Negeri Sembilan digabungkan sebagai persekutuan yang dikenali sebagai “Negeri-negeri Melayu Bersekutu”. Persekutuan menjadi negeri lindungan British di mana hal ehwalnya dikuasai oleh British.
  2. Perjanjian ini mengesahkan semua perjanjian yang ditandatangani di antara keempat-empat negeri itu.
  3. Kuasa Sultan hanya terhad ke atas negeri tersebut. Sultan tidak boleh mengadakan hubungan dengan kuasa lain tanpa kebenaran British.
  4. Persekutuan diketuai oleh Residen Jeneral.
  5. Gabenor Negeri-negeri Selat dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan.
  6. Residen akan menjalankan pentadbiran mengikut arahan kerajaan pusat.
  7. Beberapa jabatan persekutuan akan ditubuhkan.
  8. Kuala Lumpur menjadi ibu negeri.
  9. Negeri-negeri Melayu Bersekutu akan menubuhkan pasukan tentera untuk menjaga keamanan persekutuan dan Negeri-negeri Selat jika diperlukan.
  10. Kerjasama antara negeri akan dijalankan dalam politik, ekonomi dan sosial.
  11. Majlis Mesyuarat Negeri diberi kuasa meluluskan undang-undang tetapi digubal oleh pegawai persekutuan yang dikenali sebagai Penasihat Undang-undang.
  12. Majlis Mesyuarat Raja-raja akan ditubuhkan.
  13. Majlis Mesyuarat Persekutuan yang menjadi badan pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu akan ditubuhkan.
  14. Tiada syarat dalam perjanjian ini yang bertujuan mengurangkan kekuasaan dan kewibawaan Sultan.
Kesan-kesan Perjanjian Persekutuan 1895

1.   Politik
Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu berjaya mewujudkan keseragaman dan kecekapan pentadbiran di seluruh persekutuan. Keamanan dan peraturan yang stabil dan menyeluruh berjaya diwujudkan di seluruh persekutuan. Perkara yang berkaitan dengan persekutuan seperti sistem pentadbiran, cukai, keadilan, Undang-undang Tanah dapat disatu dan diselaraskan kerana semua urusan pentadbiran dijalankan atas arahan kerajaan pusat, khususnya arahan Residen Jeneral yang mengenai persekutan. Bagi memudahkan pentadbiran, beberapa jabatan seperti kewangan, polism kastam, perhutanan, hal-ehwal orang Cina, kerja raya, keretapi ditubuhkan. Frank Swettenham dilantik sebagai Residen Jeneral pertama pada 1 Julai 1896. Negeri-negeri Melayu Bersekutu bukan merupakan sebuah persekutuan dalam erti kata sebenarnya lebih merupakan kesatuan politik. Semua urusan pentadbiran dijalankan atas arahan kerajaan pusat khususnya Residen Jeneral yang berkuasa penuh dalam semua hal-ehwal termasuk kewangan. Punca utama hasil (duti eksport) juga dibawah kawalan kerajaan pusat. Tiada pembahagian antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Kerajaan negeri hanya mengikut arahan pusat dalam menjalankan pentadbiran. Penubuhan Jabatan Persekutuan menyebabkan tumpuan besar ke atas kerajaan pusat. Jabatan negeri mengikut arahan jabatan pusat.

Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu menyebabkan Residen Jeneral muncul sebagai orang paling berkuasa dalam persekutuan kerana semua urusan pentadbiran dijalankan atas arahannya. Sultan, Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri tidak dapat mengawal kuasanya. Mereka tertakluk di bawah arahan Residen Jeneral dalam menjalankan pentadbiran negeri. Gabenor Negeri-negeri Selat yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan juga tidak dapat mengawal kuasa Residen Jeneral kerana beliau berada di Singapura untuk mentadbir Negeri-negeri Selat. Selain itu, sudah menjadi kecenderungan Residen Jeneral menjalankan pentadbiran tanpa merujuk kepada Pesuruhjaya Tinggi. Majlis Mesyuarat Persekutuan yang diharap mengawal kuasa Residen Jeneral tidak ditubuhkan sehingga tahun 1909.

Penubuhan persekutuan juga menyebabkan Sultan, Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri kehilangan kuasa. Mereka tertakluk di bawah arahan Residen Jeneral dalam menjalankan pentadbiran. Kuasa Sultan hanya dalam hal-ehwal agama Islam dan adat resam Melayu. Residen tidak lagi bebas menjalankan pentadbiran negeri kerana mereka tertakluk di bawah arahan Residen Jeneral. Majlis Mesyuarat Negeri kehilangan fungsi sebagai institusi pentadbiran. Majlis Mesyuarat Negeri diberi kuasa meluluskan undang-undang tetapi undang-undang digubal oleh Pegawai Persekutuan yang dikenali sebagai Penasihat Undang-undang. Majlis Mesyuarat Negeri tiada kuasa pembatal dan terpaksa meluluskan undang-undang yang dipersetujui. Penubuhan Jabatan Persekutuan telah menyebabkan lebih ramai Pegawai British yang diambil tugas. 


Keadaan ini menunjukkan seolah-olah Negeri-negeri Melayu Bersekutu ditadbir secara langsung oleh British. Pemusatan kuasa yang keterlaluan telah menimbulkan bantahan Sultan, contohnya, dalam Majlis Mesyuarat Raja-raja Kedua di Kuala Lumpur pada tahun 1903, Sultan Idris (Perak) telah mengecam hebat pemusatan kuasa dan mendesak diambil langkah melaksanakan desentralisasi (pengagihan kuasa) bagi mengembalikan kuasa Sultan, Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri. Sultan Idris juga mendesak lebih ramai orang Melayu dilantik dalam jabatan persekutuan. Penubuhan persekutuan membolehkan Sultan Perak, Selangor, Pahang dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan bertemu dan berbincang bersama-sama kepentingan bersama dalam Majlis Mesyuarat Raja-raja sejak tahun 1897 dan Majlis Mesyuarat Persekutuan sejak 1909.

2.         Ekonomi
Perkembangan ekonomi yang pesat di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan kestabilan politik telah membawa kepada kestabilan ekonomi. Keseragaman dan kecekapan, keamanan dan keaturan serta pentadbiran yang berkesan telah menyebabkan lebihan hasil dan hasil persekutuan dapat digunakan oleh semua negeri dalam semua gabungannya. Keadaan politik dan peluang-peluang ekonomi telah menggalakkan pelabur-pelabur dari Negeri-negeri Melayu atau Seberang Laut untuk melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi, khususnya bijih timah dan getah. Kedatangan mereka telah menyebabkan berlakunya pertambahan hasil di Negeri-negeri Melayu Bersekutu, contohnya hasil Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 1896 berjumlah $8.5 juta telah meningkat kepada $24 juta pada tahun 1909. Pembinaan sistem jalan raya dan jalan keretapi terutamanya yang menghubungkan negeri telah memajukan lagi kegiatan ekonomi Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1904, sudah terdapat jalan raya sepanjang 2400 km dan jalan keratapi sepanjang 340 batu. Pada tahun 1903, terdapat jalan keretapi dari Perai ke Seremban dan disambungkan ke Johor Bahru pada tahun 1909.

Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah memajukan perusahaan bijih timah dan getah. Buktinya pada tahun 1889 eksport bijih timah Perak, Pahang Selangor dan Negeri Sembilan berjumlah 20000 tan. Pada tahun 1904, eksport bijih timah persekutuan ialah 70000 tan. Selepas penubuhan persekutuan, orang-orang Eropah mula mengambil alih penguasaan ke atas perlombongan-perlombongan bijih timah yang dikuasai oleh orang-orang Cina. Begitu juga dengan perusahaan getah yang semakin berkembang selepas penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1897, hanya terdapat 345 ekar, 1905 – 50 ribu ekar dan 1909 meningkat kepada 200 ribu ekar yang ditanami getah.

3.         Sosial
Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah berjaya mewujudkan keamanan dan peraturan. Jaminan keselamatan dan persamaan hak di sisi undang-undang telah menggalakkan imigran Cina dan India, lebih-lebih lagi terdapat peluang dalam perkhidmatan persekutuan dan perkembangan bijih timah. Kedatangan imigran telah menyebabkan pertambahan penduduk di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Selain itu, kedatangan imigran juga mewujudkan masyarakat majmuk. Orang-orang Cina dan India adalah masyarakat yang berasingan dan tidak dapat mengasimilasikan diri dalam masyarakat Melayu. Penubuhan pesekutuan menyebabkan perutmbuhan dan perkembangan bandar-bandar seperti Taiping, Kuala Lumpur, Kelang dan lain-lain lagi.

Selain itu, terdapat pelbagai kemudahan sosial seperti perhubungan, kesihatan, pelajaran dan lain-lain. Walau bagaimanapun, kemudahan sosial itu mempunyai kepentingan ekonomi kerana ia disediakan di kawasan yang mempunyai kegiatan ekonomi. Pada tahun 1909, terdapat 52 buah klinik di persekutuan dan 1904 kemudahan perhubungan diadakan (2400 km jalan raya dan 340 batu jalan keretapi). Dalam bidang pelajaran, banyak sekolah-sekolah didirikan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1907, terdapat 266 buah sekolah Melayu, 1903 terdapat 15 buah sekolah Tamil dan 1911, 50 buah sekolah Cina. Selain itu, terdapat sekolah Inggeris yang didirikan oleh kerajaan dan mubaligh. Pada tahun 1905, Maktab Melayu Kuala Kangsar dibina khas untuk anak-anak golongan bangsawan. Pada tahun itu, kerajaan membina maktab teknik di Kuala Lumpur untuk menyediakan tenaga mahir bagi Jabatan Kerja Raya dan keretapi.


DURBAR
1.         Pada tahun 1897, DURBAR (Persidangan Rajaja Melayu) yang pertama diadakan di Kuala Kangsar kerana British menghormati Sultan Idris Syah.

2.         DURBAR ialah persidangan di antara Pesurahjaya Tinggi, Residen Jeneral, Residen dan Raja-raja Melayu.

3.         Persidangan ini diadakan untuk membincangkan kepentingan bersama.

4.         DURBAR ialah permulaan kepada institusi yang kini dikenali sebagai Majlis Raja-raja Melayu.

5.         Fungsi utama DURBAR:

a.         Mewujudkan kerjasama dan perpaduan di antara keempat-empat negeri Melayu.

b.         Membolehkan Raja-raja Melayu menasihati kerajaan persekutuan.

6.         DURBAR tidak ada kuasa untuk menggubal undang-undang.

7.         DURBAR yang kedua diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1903.

8.         DURBAR dimansuhkan apabila Majlis Mesyuarat Persekutuan ditubuhkan tetapi wujud semula pada tahun 1927.

9.         1930, DURBAR diadakan di Singapura dan dihadiri oleh 9 orang Raja.


SUMBER
1. Perjanjian-perjanjian dalam Sejarah Malaysia
2. Negeri-Negeri Melayu Bersekutu tahun 1896
3. Konsep federalisme negara masih utuh
4. Kekayaan Hasil Bumi Mendorong Campur Tangan British

2 comments.. read them below or add one

nurfatieha zulkefli nurfatieha zulkefli June 24, 2015
terima kasih atas maklumat yang diberikan
nurfatieha zulkefli nurfatieha zulkefli June 24, 2015
terima kasih atas maklumat yang diberikan